Terkini

6/trending/recent

Hot Widget

Type Here to Get Search Results !

Korea: Hotel berbentuk kapal persiaran tanpa perlu berada di atas laut



INGIN merasai kenikmatan menaiki kapal persiaran tanpa perlu berada di atas laut? Pasti ia kedengaran pelik dan tidak masuk akal. Akan tetapi, sudut kreatif manusia mampu melakukan perkara di luar jangkaan menjadikannya suatu realiti.

Jika anda berkunjung ke Jeong Dong Jin, Korea Selatan, anda akan dapat melihat sebuah kapal persiaran besar yang terdampar di atas pinggir tebing bukit di tepi pesisir pantai kawasan tersebut. Mungkin anda akan rasa pelik, tetapi itu sebenarnya adalah sebuah hotel yang dibina menyerupai kapal persiaran.

Banyak hotel di seluruh dunia memilih cara baru dan kreatif untuk memberi pengalaman penginapan yang menakjubkan kepada tetamu. Hotel yang diberi nama Sun Cruise Resort and Yacht pula telah memilih tema kapal persiaran.




Dibuka pada tahun 2002, hotel pertama yang bertemakan kapal persiaran yang terletak di atas darat ini dengan cepat menjadi salah satu tarikan yang paling popular di Korea Selatan. la bukan saja berjaya menarik perhatian pelancong tempatan malah luar negara.

Menurut pihak Sun Cruise Resort & Yacth, lokasi hotel itu yang sangat istimewa menjadikan ia sebagai sebuah destinasi percutian yang unik dan sensasi. Ia sesuai untuk mereka yang gemar keadaan santai untuk mendapatkan rehat yang berkualiti.

Hotel terletak di bandar pelancongan yang cukup terkenal kerana mempunyai pemandangan matahari terbit yang dianggap terbaik di Korea Selatan. Apa yang menarik ialah hotel ini memberikan anda pengalaman realistik seperti menaiki kapal persiaran yang sebenar dengan bunyi deruan ombak dan kicauan burung seolah olah anda sedang berlayar di atas kapal persiaran menerusi beberapa speaker besar yang terdapat dalam hotel tersebut.

Hotel dengan 165 meter panjang, 45 meter tinggi dan seberat 30,000 tan ini mempunyai 211 buah bilik tidur, kolam renang air masin, pusat karaoke, restoran, sky lounge, kelab malam dan macam-macam lagi. Selain itu, hotel ini turut menawarkan enam buah dewan untuk bengkel dan seminar yang menggunakan teknologi terkini.

Antara perkara yang menarik di hotel tersebut adalah platform pemerhatian di bahagian paling atas hotel yang direka untuk membolehkan pengunjung melihat pemandangan indah kawasan Jeong Dong Jin.

Selain memberi pengalaman unik kepada anda, terdapat juga taman-taman unik seperti Sunrise Garden dan Sculpture Park di kawasan hotel. Sunrise Garden merupakan lokasi yang terbaik untuk melihat matahari terbit atau terbenam dan terdapat dua buah arca tangan besar.

Sculpture Park pula adalah sebuah taman yang mempunyai pelbagai keping ukiran arca dan dihiasi dengan bunga dan pokok yang cantik. Terdapat juga pelbagai tiang totem telah di gunakan untuk mendoakan kejayaan, kesejahteraan dan beberapa keinginan peribadi yang membolehkan anda belajar dan mengalami budaya tradisional yang unik.

Kalau anda berkunjung ke Korea Selatan, jangan lepaskan peluang merasai sendiri pengalaman menginap di Hotel Suncruise Resort & Yatch kerana harga yang ditawarkan untuk menginap di hotel tersebut amat berpatutan dengan harga serendah RM237 (80,000 Won) semalam.
Artikel ini ditulis Oleh Tajul Ariffin Abu Hassan

Catat Ulasan

0 Ulasan
* Ulasan anda adalah tanggungjawab anda sendiri.

text

Untuk dapatkan artikel berkaitan, sila masukkan carian anda di bawah :

Cari Blog Ini


Kongsikan Artikel Ini :

Top Post Ad

Below Post Ad



Ads Bottom